Friday, 30 March 2012

Jumlah Pelajar Uzbekistan Di Malaysia Dijangka Terus Bertambah

TASHKENT (Uzbekistan), 6 Mac (Bernama) -- Lebih banyak pelajar Uzbekistan dijangka melanjutkan pengajian mereka di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Abdul Aziz Harun. 

Beliau berkata pada masa ini kira-kira 700 penuntut Uzbekistan sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Malaysia dan angka itu dijangka terus bertambah.
 

"Saya akan pastikan lebih banyak pelajar Uzbekistan memilih Malaysia untuk meneruskan pengajian mereka," katanya pada majlis makan malam meraikan delegasi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini malam tadi.
 

Delegasi itu yang diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs tiba di sini malam tadi dalam rangka lawatan kerja yang padat ke Kazakhstan dan Uzbekistan selama seminggu.
 

Sebelum ini delegasi itu berada di Kazakhstan bagi melawat The Egyptian University of Islamic Culture "Nur Mubarak" di Almaty selain bertemu peneraju industri halal, kepimpinan masjid dan rumah kebajikan di Astana yang merupakan ibu negara Kazakhstan.
 

Abdul Aziz berkata Malaysia sudah pasti menjadi pilihan penuntut Uzbekistan apabila kemudahan pendidikan dipromosi kepada mereka.
 

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis Jafperi Othman dalam ucapannya yakin banyak manfaat dapat dikumpul oleh peserta delegasi itu dalam usaha memperkasakan hubungan MAIPs dengan agensi agama di luar negara.
 

Beliau berkata lawatan kerja itu juga dapat mempromosikan MAIPs di peringkat antarabangsa selain menggarap pengalaman, ilmu dan perkongsian bermakna di kalangan anggota MAIPs.
 

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin yang bertitah selepas majlis makan malam itu berharap generasi muda di Malaysia mencontohi beberapa amalan positif golongan remaja di Uzbekistan sehingga mereka terpelihara daripada gejala sosial negatif.
 

Menurut baginda kebanyakan kanak-kanak berumur antara empat hingga tujuh tahun diberi pendedahan oleh ibu bapa dan penjaga mereka dengan pelbagai kegiatan bermanfaat terutama bersukan, kegiatan kebudayaan dan kesenian sehingga berusia 18 tahun.
 

Ini bermakna kanak-kanak di Uzbekistan mempunyai gaya hidup yang positif kerana mereka sukar mendapat ruang untuk dipengaruhi perkara negatif disebabkan kesibukan rutin harian mereka.
 

Raja Muda bertitah jika perkara sama dilakukan di Malaysia, pembentukan generasi muda yang mempunyai gaya hidup positif akan terhasil melalui pengimbangan akademik dan pengetahuan agama tanpa meminggirkan kegiatan seni, kebudayaan dan sukan.
 

Baginda bertitah gejala sosial negatif juga boleh dikawal jika generasi berumur bawah 17 tahun tidak dibenar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat siber selepas jam 8 malam.
 

Turut serta pada lawatan kerja MAIPs ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin.
 

Masih Ada Lebih 12,000 Keluarga Miskin Bandar Di Seluruh Negara - M Saravanan

KANGAR, 16 Mac (Bernama) -- Sehingga kini, masih terdapat 12,460 keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar dalam bandar di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan usaha berterusan bagi mengeluarkan keluarga terbabit daripada kelompok berkenaan, dan antara program yang dijalankan ialah Program Kemiskinan Bandar (PKB).
 

"PKB memberi fokus kepada projek yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan memberi pendapatan tambahan kepada kumpulan sasar seperti latihan kemahiran dan keusahawanan," katanya ketika berucap merasmikan Program Ziarah Kesejahteraan Bandar peringkat Perlis, di sini Jumaat.
 

Mengenai PKB di Perlis, Saravanan berkata sebanyak 288 isi rumah didaftar sebagai miskin tegar dan hampir separuh daripadanya telah menyertai program latihan kemahiran dan keusahawanan yang bertujuan meningkatkan pendapatan mereka dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
 

Sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 130 penduduk miskin tegar dalam bandar di Perlis telah menyertai pogram latihan kemahiran termasuk dalam bidang jahitan, masakan dan kecantikan yang mana sebahagian besarnya berjaya meningkatkan pendapatan mereka.
 

Umat Islam Perlu Berjihad Untuk Tingkatkan Ekonomi, Titah Raja Muda

KANGAR, 23 Mac (Bernama) -- Umat Islam perlu melakukan transformasi positif dan berjihad ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi yang sejajar dengan tuntutan agama, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda dalam menghadapi persaingan ekonomi semasa, mereka perlu berjihad dalam perniagaan di samping mewujudkan 'wakaf korporat' sebagai institusi yang boleh membantu perkembangan ekonomi Islam.
 

Bertitah merasmikan seminar 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat' di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis malam tadi, baginda yakin ekonomi umat Islam akan terus berkembang jika mereka turut menyertai transformasi itu.
 

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).
 

Timbalan Presiden DPIM Tan Sri Muhamad Ali Hashim membentang kertas kerja bertajuk 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat Pemangkin Ekonomi Ummah' pada majlis yang dihadiri umat Islam seluruh Perlis itu.