Friday 30 March 2012

Projek Tebatan Banjir Arau Bernilai RM27 Juta Mula April Depan

Projek tebatan banjir Arau membabitkan kos RM27 juta akan bermula April depan, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Nishad Mohamed Mohd Shaffy.

Beliau berkata projek itu membabitkan pembinaan sebuah kolam seluas 130 hektar di kawasan ladang tebu Felda Chuping berhampiran Ulu Pauh dekat sini untuk menerima limpahan air dari kawasan hulu sekitar kawasan sempadan di Chuping.
 

Limpahan air selama ini terus mengalir masuk ke Sungai Arau mengakibatkan kawasan persekitaran Bandar Diraja itu mengalami banjir.
 

Katanya air akan disimpan di dalam kolam berkenaan sekaligus membolehkan ia dijadikan kawasan rekreasi kerana kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang banyak digunakan pelancong untuk ke Langkawi.
 

Nishad Mohamed berkata sambungan daripada projek pembinaan kolam itu akan melibatkan pula kerja melebar Sungai Arau dari kawasan kolam hingga ke Kampung Kebun sejauh kira-kira sembilan kilometer sebagai laluan untuk melepaskan lebihan air dalam kolam berkenaan jika berlaku hujan lebat secara berterusan.
 

117 Rumah Rosak Dilanda Ribut Selama 10 Minit Di Perlis Semalam

KANGAR, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 117 buah rumah di lima kawasan di negeri ini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang berlaku selama 10 minit bermula pukul 4.15 petang semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata kejadian membabitkan kawasan Indera Kayangan, Sena, Kayang, Tambun Tulang dan Guar Sanji.
 

Jumlah kerugian masih disiasat oleh kira-kira 40 warga kerja JKM Perlis dan bantuan akan diberi sebaik sahaja bancian selesai, katanya kepada Bernama, di sini Isnin.
 

Beliau berkata kawasan paling teruk terjejas ialah Indera Kayangan yang menyaksikan 28 rumah masing-masing di Kampung Bakau dan Taman Hijrah rosak teruk terutama pada bahagian bumbung.
 

Turut mengalami kerosakan ialah gerai dan premis perniagaan terutama sekitar bandar Kangar serta bumbung beberapa premis kerajaan di Jalan Penjara di sini, selain pokok besar yang tumbang, katanya.
 

Perlis Berpotensi Sebagai Lokasi Industri Marin - Raja Muda

KANGAR, 19 Mac (Bernama) -- Industri marin berpotensi besar di Perlis sejajar dengan perkembangan pembangunan kawasan pesisir pantai khususnya Kuala Perlis, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Isnin.

Menurut baginda, industri marin menawarkan peluang yang luas terutama dalam bidang pembinaan kapal dan bot, fabrikasi bot rekreasi, feri dan kejuruteraan marin selain industri sokongan.
 

Bertitah semasa melawat syarikat Perlis Marine Engineering Sdn Bhd (PME), satu-satunya syarikat pembuat badan kapal dan bot, di Kuala Perlis, baginda yakin industri itu mampu berkembang sejajar dengan kedudukan strategiknya apatah lagi Kuala Perlis bakal menjadi bandar maritim.
 

Baginda percaya, permintaan terhadap kapal dan bot akan terus meningkat terutama bagi permintaan tempatan di samping Indonesia dan Thailand.