Friday 30 March 2012

Projek Tebatan Banjir Arau Bernilai RM27 Juta Mula April Depan

Projek tebatan banjir Arau membabitkan kos RM27 juta akan bermula April depan, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Nishad Mohamed Mohd Shaffy.

Beliau berkata projek itu membabitkan pembinaan sebuah kolam seluas 130 hektar di kawasan ladang tebu Felda Chuping berhampiran Ulu Pauh dekat sini untuk menerima limpahan air dari kawasan hulu sekitar kawasan sempadan di Chuping.
 

Limpahan air selama ini terus mengalir masuk ke Sungai Arau mengakibatkan kawasan persekitaran Bandar Diraja itu mengalami banjir.
 

Katanya air akan disimpan di dalam kolam berkenaan sekaligus membolehkan ia dijadikan kawasan rekreasi kerana kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang banyak digunakan pelancong untuk ke Langkawi.
 

Nishad Mohamed berkata sambungan daripada projek pembinaan kolam itu akan melibatkan pula kerja melebar Sungai Arau dari kawasan kolam hingga ke Kampung Kebun sejauh kira-kira sembilan kilometer sebagai laluan untuk melepaskan lebihan air dalam kolam berkenaan jika berlaku hujan lebat secara berterusan.
 

No comments:

Post a Comment